Semasa
Seminar wanita mendepani cabaran sosial (Sumber: Berita Harian, 9 Julai 2010)
BIRO Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengalu-alukan penyertaan wanita ke Konvensyen Wanita Islam (KONWANIS) yang bakal berlangsung di Dewan Wawasan Politeknik Port Dickson, 24 Julai depan.
Pengarah Konwanis, Norlida Kamaruddin, berkata dalam suasana hari ini, wanita harus mendepani cabaran dalam kehidupan bermasyarakat dengan asas kekuatan yang tepat di samping mengetahui tabiat, impak serta cabaran yang bakal ditempuhi pada era hermeneutik ini.
“Mereka perlu terlebih dulu mengenali diri sendiri agar jelas apakah tuntutan terhadap mereka, jelas hala tuju seterusnya, dan dengan kata lain tidak hanyut dengan arus negatif semasa. Amat penting mereka mengetahui kayu ukur sebenar dalam mentafsirkan identiti dan jati diri mereka.
“Hakikatnya wanita mempunyai tugas dan tanggung jawab yang besar dalam kehidupan yang pelbagai aspek ini, justeru itu wanita mesti cekal, matang dan berwibawa serta berdaya saing dalam menempuh segala cabaran yang mendatang,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Bertajuk ‘Wanita Mendepani Cabaran Sosial Pasca Moden’, ia akan membincangkan cabaran isu berkaitan cabaran sosial yang melanda, bagi mencari penyelesaian bagi mengurangkan masalah dihadapi.
Antara objektifnya ialah menjelaskan berhubung identiti dan jati diri wanita dari perspektif Islam; menekankan perkara penting dalam mendepani cabaran sosial pada pasca moden selain berusaha memartabatkan Islam sebagai penyelesai masalah dan jalan keluar.
Selain pembentangan kertas kerja, menarik pada seminar berkenaan ialah pemeriksaan kesihatan percuma, jualan dan pameran serta malam kesenian Islam. Bayaran penyertaan ialah RM70 untuk ahli, sementara untuk pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan organisasi, masing-masing RM35 dan RM100. Bayaran penginapan atas tanggungan sendiri. Maklumat lanjut hubungi Zakiah Abd Rahman di talian 013-262 2375 / Shazwin Hassan (013-443 0803) / Suria (019-275 9117).
KONWANIS kembali lagi (Sumber: ISMAWeb, 25 Jun 2010)
Bandar Baru Bangi, 25 Jun – Seperti tahun-tahun yang lepas, Konvensyen Wanita Islam Nasional (KONWANIS) anjuran Biro Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) kembali lagi pada tahun ini. Kali ini Negeri Sembilan dipilih sebagai tuan rumah untuk acara yang akan diadakan pada 24 Julai 2010 di Dewan Wawasan, Politeknik Port Dickson.
Konvensyen ini diadakan dengan tujuan untuk mencapai beberapa objektif utama iaitu menjelaskan identiti dan jati diri wanita daripada perspektif Islam, memimpin wanita dalam mendepani cabaran sosial di pasca moden dan memartabatkan Islam sebagai penyelesai masalah dan jalan keluar.
Menurut Ustazah Norlida bt Kamarudin, Naib Ketua Wanita ISMA yang juga Pengarah KONWANIS 2010, tema ’Wanita Mendepani Cabaran Pascamoden’ telah dipilih kerana KONWANIS edisi keempat ini akan membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi golongan wanita yang dikaitkan dengan cabaran sosial yang melanda.
“Pada akhirnya, kita berharap untuk mengemukakan jalan penyelesaian kepada semua isu dan cabaran ini berlandaskan Islam”, tambah beliau.
“Hakikatnya wanita memikul tanggungjawab yang besar dalam kehidupan pascamoden yang pelbagai aspek ini. Justeru itu, mereka harus mendepani suasana ini dengan asas kekuatan yang tepat di samping mengetahui tabiat, impak serta cabaran yang bakal ditempuhi”, jelas Ustazah Norlida lagi.
Pelbagai agenda menarik telah disusun untuk menghiasi KONWANIS 2010, antaranya pembentangan tiga kertas kerja, forum, mini karnival dan malam kesenian. Kira-kira 1000 orang peserta dijangkakan hadir termasuk golongan profesional dan mahasiswi.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut atau mendaftar secara online, boleh melayari laman web rasmi KONWANIS di http://konwanis.ismaweb.net.